PHP adalah nama pendek untuk bahasa pengaturcaraan PHP atau pun "PHP: Hypertext Preprocessor". Perlu difahami, nama PHP itu sendiri bukanlah satu ringkasan atas singkatan kepada nama panjangnya.
PHP adalah suatu kod skrip yang dilaksanakan dalam suatu server terlebih dahulu dan kemudiannya dihantar kepada pelayar web, berbeza dengan Javascript di mana kodnya dilaksanakan terus oleh pelayar web. Antara ciri-ciri utama PHP adalah keupayaannya membina laman web dinamik (oleh kerana data diproses dan dipilih di server) dan sebagai pengantara kepada pangkalan data. Namun ciri terpenting PHP adalah ia boleh dilaksanakan di semua platform komputer seperti Unix, Linux,Mac dan Windows. Jadi anda boleh menulis kod PHP dengan komputer rumah anda menggunakan Windows dan kemudian menjalankan kod yang sama pada pelayan Unix / Linux atau sebaliknya.
Jadi apa yang ia boleh lakukan?
Terus terang saya katakan PHP adalah bahasa pengaturcaraan yang lengkap sebagaimana C++ dan VB dan anda boleh melakukan hampir apa sahaja dengannya, tetapi kebanyakannya PHP digunakan dengan pengaturcaraan berasaskan web kerana kebolehannya mengakses pangkalan data. (PHP menyokong lebih daripada 19 jenis pangkalan data!). PHP juga boleh berkomunikasi dengan bahasa pelayan-sampingan lain seperti Java dan menggunakan antara muka COM.
Kebanyakan laman web masa kini menggunakan gabungan PHP dan Pangkalan Data MySQL. MySQL adalah antara pangkalan data paling banyak digunakan pada masa ini. Walau pun begitu, PHP juga boleh digunakan bersama Microsoft Access, MS-SQL Server, Oracle dan lain-lain pangkalan data berasaskan ODBC.
Sejarah PHP
Sebelum PHP, bahasa pengaturcaraan PERL telah digunakan secara meluas untuk membuat laman web dinamik tetapi Perl agak sukar dipelajari. Oleh yang demikian terdapat keperluan untuk menghasilkan satu bahasa yang mudah dipelajari dan mempunyai ciri-ciri seperti PERL.
PHP telah dibangunkan oleh Rasmus Lerdorf sebagai satu cara untuk memaparkan resume secara online. Daripada situ, PHP telah berkembang secara beransur-ansur dan akhirnya PHP / FI telah diterbitkan pada pertengahan-1995. Kini PHP adalah salah satu bahasa skrip yang paling berkuasa untuk membina laman web dinamik dan boleh dijalankan pada Unix, Linux dan Windows.
Mahu belajar PHP?
Untuk belajar PHP, anda perlu tahu serba sedikit mengenai kod-kod HTML (secara asas). Jangan risau, PHP sangat mudah untuk dipelajari dan biasanya boleh dimahiri dalam masa beberapa minggu sahaja!
Matlamat blog ini adalah untuk berkongsi sedikit ilmu pengetahuan dan asas-asas PHP supaya anda boleh membina laman web dinamik anda sendiri!
Tapi sebelum anda boleh mula menulis kod-kod PHP, anda perlu memasang PHP pada komputer anda. Jadi langkah pertama, muat-turun PHP dan pasangkan dalam komputer anda.
Khamis, 27 Disember 2012
Pengenalan Kepada PHP
Langgan:
Ulasan (Atom)












